Saturday, January 22, 2011

NYARIS MAUT DI LOKASI - BERITA HARIAN 23 JAN 2011

Klik: Nyaris maut di lokasi Oleh Zul Husni Abdul Hamid



MELIHAT tubuh kecil serta perwatakan genitnya, pasti ramai tidak menyangka gadis periang ini sebenarnya seorang yang lasak dan berani mencuba aktiviti mencabar. Keinginan itu direalisasikan sepenuhnya oleh Nuur Jihan Musa atau Jihan, 28, apabila dipelawa menjadi hos program, Destinasi Ke Destinasi siaran Astro Prima. 

Hati naib juara Raja Lawak musim ketiga ini berbunga mekar tatkala lamaran itu datang. Umpama orang mengantuk disorong bantal, kesempatan itu dimanfaatkan Jihan untuk meneroka pelbagai aktiviti lasak yang menyeronokkan. Tidak pernah sesekali dia menyangka, Destinasi Ke Destinasi sebenarnya menuntut kudrat luar biasa daripada tubuh kecilnya untuk berdepan situasi di luar jangkaan.


Dua insiden itu berlaku ketika mereka bertungkus lumus menyempurnakan penggambaran di kaki Gunung Kinabalu, Sabah dan Pulau Dayang, Johor. Kebetulan ketika penggambaran di dua lokasi itu berlangsung, keadaan cuaca tidak menentu membuatkan mereka terpaksa bergelut dengan pelbagai kesulitan. 

Kata Jihan, pengalaman pertama yang mendebarkan berlaku ketika mereka menuruni Gunung Kinabalu dalam hujan lebat. 

Tanpa disangka, perjalanan yang pada awalnya bermula lancar bertukar menjadi sebuah pengalaman yang hampir menagih nyawanya. 

Hujan lebat menyebabkan aliran air deras berlari laju membuatkan mereka terpaksa berpaut pada pokok supaya tidak hanyut dibawa arus. 
“Ketika di Pulau Dayang pula, saya nampak awan hitam berarak pantas di belakang kami. Laut bergelora ganas disertai ribut kencang menyebabkan perjalanan mengambil masa lebih panjang. Ketika itu, saya cuma mampu berserah kepada Tuhan. Tiada lain yang terlintas di fikiran kecuali mati. Dalam ketakutan itu, saya tenangkan diri dengan mengucap dua kalimah syahadah dan membaca ayat suci al-Quran berulang kali. 

“Alhamdulillah, semua kesulitan itu dapat kami atasi tanpa berlaku sebarang kejadian buruk. Bila diimbas semula semua pengalaman itu, saya berterima kasih kepada Tuhan kerana berpeluang merasainya. Saya tidak menyesal biarpun terpaksa bertarung nyawa kerana semua itu membuatkan saya lebih menghargai kehidupan ini,” kata gadis itu merungkai satu persatu pengalaman mendebarkan yang dilaluinya. 

Akui Jihan, sepanjang penggambaran Destinasi Ke Destinasi dia mendesak diri untuk menakluk perasaan takut yang menyelubungi kerana ingin memberikan yang terbaik kepada khalayak. Dia memujuk diri dengan berkata, jika tidak dicuba segala aktiviti yang terbentang di depan matanya, entah bila kesempatan berharga itu akan kembali bertandang. Dedah Jihan, dia sebenarnya takut berada di tempat tinggi selain rimas apabila melihat pacat berkeliaran. Tetapi kerana Destinasi Ke Destinasi, semua ketakutan itu berjaya ditawannya. 

“Saya redah semuanya kerana penerbit mahukan program ini nampak realistik dan tidak dibuat-buat. Jangan ditanya apa perasaan saya ketika itu tetapi inilah masanya untuk saya mencuba aktiviti lasak seperti itu,” katanya. 

Aktiviti lasak yang dicuba Jihan sepanjang program itu seperti abseiling, repelling, water rafting dan memandu pacuan empat roda merentasi arus deras. 

“Ketika melakukan aktiviti water rafting, badan saya mengalami luka teruk apabila bot terbalik dan tubuh saya melekat di celah ranting dalam arus deras sungai. Saya membiarkan saja tubuh hanyut dibawa arus dan cuma melindungi muka supaya tidak cedera. Memang takut tetapi apabila selesai tugasan itu, saya menemui kepuasan yang sukar untuk digambarkan. Jujurnya program ini menuntut kekuatan stamina yang luar biasa. Namun kerana minat selain cinta kepada alam sekitar, saya terima pengalaman ini sebagai cabaran untuk menguji kekuatan diri,” katanya mengakui ada beberapa episod dirakamkan ketika umat Islam menyambut kemuliaan Ramadan. 

“Program ini mengajar supaya menghargai alam dan menjaga anugerah Tuhan untuk diwarisi generasi akan datang kerana mereka juga berhak menikmati kekayaan dan khazanah alam semula jadi Malaysia,” katanya. 

Belum mahu berhenti kerja 

BARANGKALI kerjaya seninya semakin menyinar namun Jihan tetap setia dengan jawatan tetapnya sebagai Juruteknik Bangunan di Majlis Bandaraya Shah Alam. Jihan akui, dia belum bersedia meletak jawatan kerana masih memerlukan dahan teguh untuk berpaut sekali pun rezekinya dalam bidang seni mula terbuka. 

Untuk penggambaran Destinasi Ke Destinasi, Jihan mengambil cuti tanpa gaji selama dua bulan kerana enggan menolak peluang berharga itu. 

“Saya cepat bosan jika tidak bekerja. Jika diikutkan memang saya ralat kerana ada juga beberapa tawaran menarik terpaksa dilepaskan tetapi saya belum berani meletakkan jawatan. Tuhan mempunyai rencana-Nya sendiri. Apabila tiba masa dan karier seni saya juga stabil, baru saya berani berfikir lanjut untuk sepenuh masa menjadi anak seni,” katanya. 

Ketika ini, anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu aktif menerima tawaran berlakon dan sesekali turut diundang sebagai pengacara majlis. 

Cuma kata Jihan, kebanyakan tawaran yang datang menjurus kepada watak komedi. Namun sebagai pelakon, dia ingin mempelbagaikan karakter kerana percaya mampu melakukannya. 

“Saya belum bosan berlakon komedi. Memang membawakan watak komedi lebih santai dan bebas tetapi saya ingin sekali memainkan peranan serius. 
Bagaimanapun, jika terus diberikan watak komedi saya tidak mampu menolak. Komedi sebenarnya menuntut sesuatu yang baru dan segar, selain banyak membaca untuk mencari idea yang relevan dengan situasi semasa,” katanya. 

2 comments:

  1. Jihan,
    Ada tak contact gunung ledang tu? saya ingat nak gi ngan member2 main paintball, flying fox, mandi sungai ... agak2 mahal tak situ?

    kalo ada nombor phone, tolong emailkan kat brader_rez@yahoo.com yer .. thanks Jihan!

    ReplyDelete
  2. add brader ni.. nama dia moi.. dia yg punye tmpt paintball sume tu..

    http://www.facebook.com/moi.ledang

    http://www.facebook.com/group.php?gid=125231884185412

    Menyediakan Perkhidmatan :-
    - Acara Sukan Rekreasi
    - Pendakian Gunung
    - Perkhemahan
    - Latihan Modul Teambuilding
    - Pakej Perlancongan Lasak
    - Sukan Paintball Scenario Game

    Sila Hubungi :

    019-6162268 ( Mr.Moi )

    moiadventure_group@yahoo.com

    ReplyDelete

my lovely groovy dancing girl