Saturday, January 22, 2011

JIHAN CARI BEZA - METRO AHAD 23 JAN 2011

"Jihan cari beza "

Oleh MURSHID EUNOS murshid@hmetro.com.my 

LAHIR daripada pentas pertaruhan bintang komedi membuatkan Nuur Jihan Musa sukar melarikan diri daripada terus dipalit identiti jenaka yang melekat padanya. Bersandar pada pengiktirafan sebagai naib juara Raja Lawak musim ketiga, Jihan semakin payah mencuba emosi berbeza.

Meskipun punya latar ilmu lakonan yang diterokainya ketika menuntut di gelanggang teater, gadis peramah berusia 27 tahun ini masih menagih tawaran yang memberi sesuatu yang berbeza bagi membuktikan dirinya bukan sekadar pelawak.

Enggan menyifatkan senario yang menghimpitnya mengundang kecewa, sebaliknya anak kelahiran Shah Alam, Selangor ini akan terus berusaha mencari kepercayaan pihak produksi.

Meninjau penggambaran program pengembaraan terbaru, Destinasi Ke Destinasi yang dikendalikannya baru-baru ini membuka peluang kepadanya untuk meluahkan rasa yang sudah lama bersarang di jiwa.

Tidak merungut, sebaliknya Jihan hanya berkongsi impian yang dipasangnya bagi menembusi sebuah fasa baru dalam lapangan lakonan.

“Alhamdulillah, peluang diberi pihak Astro khususnya tidak pernah henti sejak saya beraksi di pentas akhir Raja Lawak dua tahun lalu. Ada saja tawaran kepada saya, baik dalam lakonan mahupun pengacaraan.


“Saya sentiasa bersyukur kerana setidak-tidaknya penyokong yang pernah mengundi saya dulu masih berpeluang melihat kerja seni saya di kaca televisyen.


“Bagaimanapun, sebagai insan yang memang minat kepada bidang ini, ada kalanya timbul pula bimbang kerana peluang yang datang buat saya hanya sama iaitu komedi.


“Jujurnya sudah lama saya mengikuti ilmu teater dan banyak kali di pentas teater. Justeru, apabila menang di Raja Lawak dan identiti itu terus melekat kepada saya, ia bagai satu stigma yang sukar dikikis.

“Saya sangat mengharapkan ada pihak percaya akan kredibiliti saya. Tidak hanya berlawak atau menzahirkan watak komedi, saya sebenarnya mampu melakukan sesuatu yang melangkaui imaginasi ramai pihak.


“Saya impikan watak serius yang lebih banyak menuntut permainan emosi. Itu lebih mencabar serta memberi saya dimensi baru sebagai pelakon yang masih bertatih mencari tapak.


“Namun saya percaya rezeki itu belum datang lagi. Mungkin jika diberi ruang, saya mampu merealisasikan sesuatu yang diharapkan,” katanya.

Anak kedua daripada empat beradik yang masih bekerja sepenuh masa sebagai Juruteknik Bangunan di Majlis Bandaraya Shah Alam ini menjadikan lontaran emosi serta watak pergelutan perasaan sebagai kiblat lakonannya.

Jelasnya, pelakon komedi adalah pemain wayang terbaik yang sukar dipertikai corak penyampaiannya.

“Walaupun mengharapkan ada pihak memberi skrip yang tidak lagi menuntut jenaka, saya tetap melihat seseorang anak seni yang bijak melontar jenaka hingga mampu mengundang gelak tawa penonton sebagai insan luar biasa. Bukan mudah untuk menjadi pelawak yang bisa menceriakan sesebuah drama atau program televisyen.


“Saya sendiri umpamanya, perlu sentiasa prihatin terhadap apa saja berita atau kejadian yang berlaku kerana mana yang relevan, ia masih rasional diangkat sebagai modal jenaka. Jika saya asyik mengulang jenaka sama, penonton akan bosan.


“Justeru resipinya adalah banyak duduk berborak dengan sesiapa saja,” selorohnya.

Menyentuh lapangan pengacaraan, Jihan yang mengakui sukar membahagikan masa penggambaran menyifatkan Destinasi Ke Destinasi sebagai platform yang mungkin melebarkan lagi sayap seninya.

Mengangkat konsep pengembaraan ke lokasi menarik seluruh Malaysia dengan gaya persembahan santai dan bersahaja, program 13 episod yang ditayangkan setiap Ahad jam 6.30 petang di Astro Prima (Saluran 105) sejak 9 Januari lalu memberi sepenuh kebebasan kepada graduan jurusan Kejuruteraan ini menyuntik identitinya sendiri.

“Saya sekali lagi bersyukur kerana pihak Astro Prima percaya dengan karakter selamba saya untuk disuntik sebagai pengantara program penjelajahan ini. Saya sangat gembira kerana berpeluang mengalih sedikit tekanan dengan mengenali tempat orang.


“Bayangkan, sepanjang lebih kurang dua bulan setengah saya bersama produksi menjelajah seribu satu keindahan tropika serta alam hijau Malaysia, saya diberi mandat yang mencabar kredibiliti saya sebagai pengacara.


“Walaupun masih baru, saya perlu menggalas tanggungjawab dengan sempurna seperti menyalurkan seberapa banyak maklumat dan gambaran jelas mengenai lokasi dilawati.


“Saya berpeluang melakukan pelbagai aktiviti lasak seperti mendaki gunung, berkayak merempuh arus deras, bermesra dengan hidupan liar dan menyusur gua gelap,” katanya.

Destinasi Ke Destinasi turut merakam beberapa lokasi menarik termasuk Gunung Kinabalu, Gunung Ledang, Taman Negara Merapoh, Endau Rompin, Pulau Dayang di Mersing, Tasik Kenyir, Bukit Merah, Gua Kelam, Gunung Stong, Hutan Belum, Wang Kelian di Perlis serta Kuala Kubu Baru.


**terima kasih buat saudara Murshid Eunos wartawan pintar atas hasil tulisannya untuk melahirkan rasa hati ini ke dalam keratan akhbar di hujung minggu ini.. saya gembira :)

No comments:

Post a Comment

my lovely groovy dancing girl